Madkhal bakal diperluas ke negara serantau, diterjemahkan kepada pelbagai bahasa

Madkhal bakal diperluas ke negara serantau, diterjemahkan kepada pelbagai bahasa

APLIKASI Madkhal yang menghimpunkan ulama dan para ilmuwan serta menjelaskan ilmu-ilmu Islam akan diperluaskan ke negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Sejak dilancarkan kepada orang ramai pada Ogos 2024, aplikasi yang menyediakan akses mudah kepada video dan kandungan pendidikan Islam yang berstruktur itu telah berjaya menarik lebih 6,000 pengguna aktif.

Penasihat Madkhal yang juga Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, pihaknya juga berusaha untuk menambah kandungan terjemahan dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, Arab dan lain-lain bagi memperluaskan capaian aplikasi ini.

“Aplikasi ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan Islam dan memartabatkan ulama Malaysia dan ia berfungsi sebagai gerbang ilmu yang komprehensif dan syumul.

“Aplikasi ini akan diperluaskan ke negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand selain menambah kandungan dalam pelbagai bahasa,” katanya pada majlis pelancarannya di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini.

Turut hadir Naib Cancelor USIM, Prof Datuk Dr Sharifuddin Md Shaarani dan Pengasas Madkhal, Ustaz Aminuddin Abu Bakar.

USTAZ AMINUDDIN (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr Mohamad Sabri pada Majlis Pelancaran Aplikasi Madkhal di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz, USIM baru-baru ini.

USTAZ AMINUDDIN (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr Mohamad Sabri pada Majlis Pelancaran Aplikasi Madkhal di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz, USIM baru-baru ini.

Sementara itu, Ustaz Aminuddin berkata, Madkhal yang dibangunkan El Madkhal Sdn Bhd bertujuan menyediakan akses kepada ilmu agama kepada seluruh umat Islam.

“Aplikasi ini dirancang untuk memperluaskan kesedaran dan pengetahuan mengenai khazanh ilmu dan tradisi Islam serta memartabatkan ilmuwan dan asatizah tempatan di Nusantara.

“Madkhal menyediakan platform pendidikan kerohanian yang meliputi pelbagai topik penting dalam agama seperti fardu ain, syariah, sirah, al-Quran, akidah dan hadis,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan 30,000 pengguna pada tahun ini dan berusaha menambah modul baharu pada setiap bulan.

“Kami juga menyediakan sari kata dalam bahasa Inggeris bagi memudahkan pemahaman dan ia menjadikan aplikasi ini lebih mesra pengguna bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.

“Kami berharap aplikasi ini dapat menjadi panduan dan sumber ilmu yang berguna bagi masyarakat Malaysia terutamanya dalam mendalami ilmu Islam dengan cara yang moden, mudah dan berkesan,” ujarnya.

Dengan sokongan berterusan, Madkhal berharap dapat terus berkembang dan menjadi platform utama dalam menyebarkan ilmu Islam ke seluruh dunia, katanya.

SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir pada Majlis Pelancaran Aplikasi Madkhal.

SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir pada Majlis Pelancaran Aplikasi Madkhal.

Kandungan Madkhal termasuk siri video disusun secara berstruktur dan disampaikan ilmuwan Islam yang berkelayakan serta dipantau oleh panel penasihat yang terdiri daripada tokoh agama terkemuka seperti Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir dan Mohamad Sabri sendiri.

Pengguna boleh mengakses kandungan Madkhal mengikut masa dan tempat yang sesuai dengan jadual mereka.

Ia disasarkan untuk semua peringkat umur bermula 15 tahun dan ke atas.

Scroll to Top