am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Permintaan tinggi terhadap baju kurung mahupun baju Melayu untuk perayaan Aidilfitri akan datang menyebabkan tempahan ditutup seawal Jun tahun lalu bagi memastikan semua pesanan disiapkan pada masa ditetapkan.
Tukang jahit, Amirah Baharum, 30, berkata, tempahan baju raya terutama baju kurung untuk tahun ini sudah mula diterimanya sebaik sahaja Aidilfitri tahun lalu berakhir.
“Selepas raya tahun lalu, pelanggan sudah mula membuat tempahan kerana bimbang tempahan penuh lebih awal. Tahun ini, jumlah pelanggan bertambah kerana lebih ramai mengenali kedai saya,” katanya.
Amirah berkata, trend baju raya tahun ini lebih kepada rekaan yang dihiasi renda serta jahitan manik juntai dengan warna seperti rich brown dan pastel menjadi pilihan utama.
“Kain emboss paling banyak digunakan kerana teksturnya licin dan sejuk, selain kain duchess yang biasanya digunakan untuk baju kahwin,” katanya.
Katanya, jumlah tempahan yang tinggi memberi cabaran besar kerana pelanggan turut datang untuk membaiki pakaian dan menyiapkan pakaian sekolah anak-anak.
Sementara itu, Siti Haizar Amat, 34, berkata, dia menerima sebanyak 170 tempahan pakaian termasuk baju kanak-kanak, dengan kebanyakan pelanggan memilih baju kurung moden, baju Melayu dan kurta.
“Tahun ini lebih banyak berbanding tahun sebelumnya kerana saya mula mengambil tempahan lebih awal. Permintaan tinggi menyebabkan saya tidak dapat menerima semua tempahan dan terpaksa menolak sebahagian daripadanya,” katanya.
Menurutnya, pelanggan mula membuat tempahan seawal November lalu dengan memberi nama serta jumlah kain yang akan dihantar sebelum proses jahitan bermula pada Februari.
Dalam pada itu, Siti Haizar berkata, harga pakaian meningkat sedikit tahun ini berikutan kenaikan kos bahan seperti benang, zip dan getah selain faktor lokasi jauh dari kawasan bandar.
“Penentuan harga bergantung pada rekaan dan tambahan yang diminta pelanggan. Upah yang saya letakkan masih rendah berbanding pengalaman dan sijil yang saya ada. Saya juga memahami kebanyakan pelanggan daripada golongan B40,” katanya.
Kadar upah yang dikenakan seperti RM45 untuk baju kurung moden, RM85 untuk baju Melayu Teluk Belanga dan RM20 untuk baju kurung moden kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.
Manakala, Noor Sharunniza Muhamad Idris, 34, pula berkata, pelanggan biasanya mula membuat tempahan seawal Disember dan Januari lalu, di mana dia hanya membuka tempahan selama 12 hari bagi memastikan kerja lebih teratur.
“Tahun ini saya menerima 150 tempahan termasuk pelanggan dari Johor melalui tempahan dalam talian,” katanya.
Menurutnya, tempahan lebih tertumpu kepada baju kurung moden, kebaya serta pakaian kanak-kanak, manakala tempahan baju Melayu dihadkan kerana rekaan pakaian wanita lebih rumit dengan tambahan aksesori.
“Harga tempahan bergantung kepada permintaan pelanggan, sama ada mereka mahukan jahitan eksklusif atau biasa sahaja.
“Sebagai contoh, harga baju kurung moden asas bermula dari RM85, kebaya dari RM130, manakala pakaian kanak-kanak dari RM60,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd