Lebih daripada sekadar imbauan nostalgia, ini adalah detik untuk menghidupkan kembali semangat Ejen Ali menjelang pelancaran sekuel yang dinantikan, Ejen Ali The Movie 2.
Keterujaan terhadap filem ini semakin memuncak sejak Teaser Rasmi pertamanya diperkenalkan pada September 2024, ditambah pula dengan pelancaran lagu tema rasmi, Hanya Kamu, nyanyian legenda muzik Malaysia, Datuk M Nasir.
Hanya Kamu menggabungkan elemen muzik elektronik ikonik Ejen Ali dengan keunikan vokal Dato’ M Nasir, yang terkenal meneroka pelbagai genre daripada pop, rock, hingga irama tradisional Malaysia.
Single ini bukan sekadar lagu, tetapi simbol keberanian Dato’ M Nasir meneroka dunia muzik baharu, hasil kolaborasi dengan komposer berbakat Azri Yunus dari WAU Animation serta lirik yang turut mendapat sentuhan istimewa daripada beliau sendiri.
Selari dengan evolusi Satria Ejen Ali dalam Ejen Ali The Movie 2, lagu ini membawa mesej penuh semangat, mengajak generasi muda untuk bangkit menghadapi cabaran dan menjadi versi terbaik diri mereka.
Lagu pertama daripada album runut bunyi filem ini telah menemui peminat pada 31 Januari 2025 dan kini boleh didengari di pelbagai platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Dalam pada itu, Primeworks Studios dan Wau Animation dengan bangga mengumumkan tayangan semula Ejen Ali The Movie di pawagam terpilih seluruh Malaysia.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena ini! Saksikan Ejen Ali The Movie di pawagam pada cuti sekolah ini bermula 6 Februari 2025 dan alami sendiri pengembaraan epik Ejen Ali yang penuh dengan transformasi, misteri, dan aksi mendebarkan!
Artikel Berkaitan: Bakal Tampilkan Sedutan Eksklusif Musim 2, Filem Ejen Ali The Movie Kembali Ke Pawagam