Lupakan kekalahan tumpu Piala Cabaran – P Maniam

Lupakan kekalahan tumpu Piala Cabaran – P Maniam

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P. Maniam mahu pemain melupakan kekalahan buruk 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi dan mengalihkan tumpuan pada aksi final Piala Cabaran menentang Selangor, 5 Februari ini.

Maniam berkata, walaupun turun tanpa beberapa pemain utama seperti Kyaw Min Oo, Mohd Safiee Ahmad dan penjaga gol utama, Bryan See, ia bukan alasan bagi skuad The Cops tumpas dengan jaringan yang besar pada aksi yang jelas dikuasai skuad kendalian Hector Bidoglio.

Katanya, barisan pemain PDRM FC bertahan dengan baik pada babak pertama apabila tidak memberi banyak ruang kepada skuad Harimau Selatan untuk melakukan percubaan ke arah gol walaupun Jorge Obregon dan Corbin Ong berjaya menghasilkan jaringan.

“Pada babak kedua, kita tampak longgar sedikit selepas JDT mudah mencipta peluang gol dan melancarkan serangan hingga memaksa penjaga gol, Robson (Rendy Rining) berhempas pulas menyelamatkan gawang daripada jaringan lebih besar.

“Secara keseluruhan, pemain sudah melakukan yang terbaik namun ia tidak mencukupi. Tahap JDT terlalu tinggi, kita perlu untuk melupakan perlawanan ini dan memberikan tumpuan penuh pada aksi final Piala Cabaran menentang Selangor, itu yang saya rasa mustahak,” katanya.

The Cop akan berdepan dengan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 15 Februari diikuti aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 22 Februari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top