Beijing: Akibat terlupa untuk memakai peralatan keselamatan semasa bekerja, sekumpulan pekerja binaan di China dibiarkan tergantung di pintu gerbang dengan abah-abah (harness) di sebuah tapak pembinaan, baru-baru ini.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, video mengenai “latihan bagi yang lupa” itu dilihat oleh ramai orang sebagai hukuman dan penghinaan awam.
Video itu menarik 7.5 juta tontonan dalam talian selepas seorang pejalan kaki merakamnya pada 9 Mac lalu, di wilayah Sichuan, barat daya China.
Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar-Wilayah tempatan memberitahu media China, Dafeng News, bahawa langkah itu direka untuk mendidik pekerja yang tidak memakai abah-abah semasa bekerja mengenai kesedaran keselamatan.
Pintu gerbang tempat pekerja digantung adalah struktur sementara.
Syarikat yang mengendalikan tapak pembinaan, Pingye Construction Engineering Company, tidak memberikan sebarang komen apabila dihubungi.
Tidak diketahui berapa lama pekerja-pekerja yang berkenaan digantung sebegitu dan bagaimana reaksi mereka.
Sesetengah pihak menganggap langkah itu memalukan kerana ia menyerupai hukuman jenayah kuno seperti perarakan penghinaan di jalan-jalan, atau menggantung tubuh di bawah pintu gerbang bandar untuk memberi amaran kepada orang ramai.
Namun, ada juga yang menyokong tindakan ini dengan mengatakan ia adalah cara terbaik untuk pekerja sentiasa mengingati aspek keselamatan.
“Yang mana satu anda pilih, digantung di hadapan orang ramai hidup-hidup, atau mati kerana tidak menghiraukan langkah keselamatan?” kata seorang pemerhati dalam talian.
“Hukuman ini tidak berlebihan berbanding potensi musibah yang mungkin dihadapi oleh pekerja cuai, keluarga mereka dan rakan sekerja,” kata yang lain.
“Tindakan ini berniat baik tetapi tidak sesuai. Pekerja adalah orang dewasa yang boleh bertanggungjawab untuk diri mereka sendiri. Hukuman seperti ini adalah penghinaan,” kata seorang lagi.
Menurut Undang-Undang Keselamatan Kerja China, syarikat diwajibkan menyediakan peralatan perlindungan kepada pekerja yang mana syarikat akan didenda sehingga 200,000 yuan (kira-kira RM128,000) jika gagal berbuat demikian.
Individu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan pekerja juga akan dikenakan denda.
Bagaimanapun, peguam dari Beijing Deheng Law Offices, Li Baokun, memberitahu Dafeng News bahawa adalah haram untuk ‘menggantung’ pekerja di udara sebagai hukuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd