Lumpur 'serang' Los Angeles

Lumpur 'serang' Los Angeles

Los Angeles: Runtuhan lumpur menghalang laluan di sekitar Los Angeles semalam, selepas hujan lebat melanda kawasan yang terbakar akibat kebakaran hutan, bulan lalu.

Sebahagian daripada Los Angeles menerima hujan 2.8 inci (7 sentimeter) dalam sehari, menyebabkan kawasan banjir dan sisa terbakar di Pacific Pallisades dan Altadena berserakan dengan serpihan api dan runtuhan.

Lebuhraya Pantai Pasifik, yang dahulunya indah di mana hartanah berjuta dolar kini musnah akibat kebakaran Januari lalu, telah ditutup dengan lumpur tebal menghalang jalan.

Arus air juga menghanyutkan kenderaan Jabatan Bomba Los Angeles ke laut dan tersadai di situ, semalam.

Pegawai bomba yang memandu SUV pada masa itu sempat menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan ringan, kata jurucakap.

Di Hollywood Hills, rumah kepada bintang filem dan golongan kelas pekerja dipenuhi lumpur tebal, meninggalkan sisa sekitar 8 inci di seluruh jalan utama.

Sementara di Altadena, di mana beribu-ribu bangunan musnah akibat kebakaran bulan lalu, mengalami keadaan di mana beberapa kenderaan terkandas dan hanyut di jalan raya.

Kerosakan itu berlaku walaupun terdapat persiapan rapi dilakukan pihak berkuasa tempatan yang meletakkan beg pasir dan penghadang konkrit di lokasi berisiko, susulan ribut terkuat musim sejuk California.

Walaupun kawasan itu amat memerlukan hujan disebabkan sehingga Februari tiada hujan ketara selama lapan bulan, ia sentiasa menjadi masalah di tempat yang terjejas dengan kebakaran.

Lereng bukit yang terbakar tidak dapat menyerap air dengan cepat, bahang api juga memberi kesan dan mengeraskan tanah, sekali gus menjelaskan hujan sekadar mencuci kawasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top