Peserta protes berarak ketika membantah RUU TNI tersebut.
JAKARTA – Indonesia pada Khamis meluluskan rang undang-undang (RUU) kontroversi memberi kuasa lebih meluas kepada tentera dalam hal tadbir urus negara yang telah mencetuskan kritikan banyak pihak kerana dikhuatiri akan mengancam demokrasi dan menghidupkan semula era pemerintahan autoritarian bekas Presiden Suharto.
Undang-undang Tentera Negara Indonesia (TNI) 2004 yang disemak semula membenarkan anggota masih aktif berkhidmat memegang jawatan awam tanpa perlu bersara daripada perkhidmatan.
Sebelum ini, hanya 10 jawatan diperuntukkan buat golongan itu dan sebahagian besar daripada melibatkan keselamatan dan pertahanan.
Tetapi, pindaan itu telah menambah angka itu kepada 14 termasuk untuk jawatan di Pejabat Peguam Negara dan Agensi Antikeganasan Negara.
Perubahan itu juga melanjutkan had umur persaraan mengikut pangkat yang mana jeneral empat bintang boleh terus berkhidmat sehingga 63 atau 65 tahun yang tertakluk kepada dekri Presiden.
Semakan itu dibuat ketika sesi pleno di Dewan Perwakilan Rakyat yang didominasi oleh parti menyokong Presiden Prabowo Subianto.
Sejak Rabu lalu, kumpulan aktivis dan pelajar telah mengadakan protes menolak undang-undang TNI di beberapa bandar utama bagi menggesa Prabowo menangguhkan pelaksanaannya.
Prabowo yang juga bekas jeneral tentera telah membuat lantikan yang jelas melanggar undang-undang TNI dengan melantik pembantu peribadi beliau, Mejar Teddy Indra Wijaya sebagai Setiausaha Kabinet sedangkan jawatan itu tidak disenaraikan untuk anggota tentera yang masih aktif berkhidmat. – Agensi
Info:
Kelulusan itu mengimbau semula detik ketika pemerintahan rejim Orde Baharu, Suharto yang memberikan anggota tentera memegang jawatan di bawah doktrin dwifungsi, membolehkan mereka mengawal tadbir urus dan menindas pembangkang. Amalan itu dimansuhkan ketika reformasi pada 1998.