Lubnan larang alat kelui, walkie-talkie dalam penerbangan

Lubnan larang alat kelui, walkie-talkie dalam penerbangan

BEIRUT- Direktorat Umum Penerbangan Awam Lubnan pada Khamis melarang alat kelui dan walkie-talkie dalam penerbangan, sehari selepas dua gelombang letupan peranti berlaku di seluruh negara itu.

Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 3,250 lagi cedera pada Selasa dan Rabu dalam letupan yang menyasarkan ribuan peranti komunikasi tanpa wayar di seluruh negara, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, direktorat itu berkata ia telah mengarahkan syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Rafic Hariri untuk memaklumkan kepada penumpang bahawa alat kelui dan walkie-talkie dilarang dalam penerbangan.

Larangan itu terpakai untuk bagasi yang didaftar masuk dan barangan dibawa masuk ke dalam kabin, dan pihak berkuasa memberi amaran bahawa mana-mana peranti sebegitu akan dirampas.

Kumpulan Hizbullah di Lubnan mendakwa Israel berada di sebalik letupan peranti berkenaan dan berikrar akan membalas dendam.

Tiada sebarang komen daripada Israel mengenai letupan itu, yang berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan rentas sempadan antara Israel dan Hizbullah sejak serangan maut Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan hampir 41,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Okt lepas.

— BERNAMA-ANADOLU

Scroll to Top