Lori tangki terbalik akibat masalah brek, pemandu terselamat

Lori tangki terbalik akibat masalah brek, pemandu terselamat

rnoraina@hmetro.com.my

Gombak: Pemandu terselamat apabila lori tangki dipandu terbalik di Kilometer 28 Lebuhraya Karak, dekat Genting Sempah di sini, dipercayai mengalami masalah brek.

Kejadian itu tular selepas rakaman video berdurasi 46 saat menunjukkan kemalangan lori berkenaan dimuat naik di aplikasi sosial TikTok.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan pada 8.42 pagi ini.

“Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, lori tangki membawa muatan minyak sawit dipandu lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Apabila tiba di lokasi, brek kenderaan mengalami masalah dan gagal berfungsi menyebabkan hilang kawalan serta terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor K Pavinar di talian 017-4424699 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top