Milan: Jorge Lorenzo menepis dakwaan dia menerima gaji yang tinggi di Ducati ketika bercakap mengenai kontraknya.
Lorenzo dan sebelum ini Valentino Rossi, adalah juara MotoGP yang menjadi harapan Ducati untuk mengakhiri tempoh panjang tanpa kemenangan.
Namun, kedua-dua taruhan itu gagal, dan Lorenzo menceritakan bagaimana dia meninggalkan Ducati selepas dua musim yang hambar.
“Ducati sudah hilang kesabaran selepas setahun setengah tanpa keputusan,” katanya.
“Mereka sudah tidak mempercayai saya lagi. Mereka tidak menawarkan saya walaupun €1 juta (RM4.72 juta) sedangkan kontrak pada waktu itu bernilai €12 juta (RM56.65 juta).
“Mereka lebih berminat memilih pelumba seperti Danilo Petrucci.
“Saya langsung tidak menerima sebarang tawaran.”
Dengan masa depannya tidak menentu itu, Lorenzo pantas memilih menandatangani kontrak dengan Honda pada 2019.
Namun, ia menjadi tahun terburuknya dalam MotoGP dan Lorenzo mengumumkan persaraannya selepas satu musim bersama Honda.
Lorenzo tidak pernah dapat mengulangi kejayaan yang dikecapinya di Yamaha, di mana dia memenangi dua kejuaraan MotoGP.
Selepas menamatkan musim 2017 di tempat ketiga dalam persaingan sengit dengan rakan sepasukan Rossi, Lorenzo memilih untuk meninggalkan Yamaha.
“Saya sudah tidak ada keinginan yang banyak,” katanya.
“Mereka semakin menekan, dan itu sangat jelas di Valencia, lebih kepada Valentino berbanding saya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd