Marrakesh, Maghribi: Penyerang Nigeria Ademola Lookman dipilih Pemain Afrika Terbaik 2024 dalam majlis penganugerahan di Marrakesh, awal pagi tadi manakala pemain Zambia Barbra Banda pemenang kategori wanita.
Lookman mengatasi persaingan Victor Osimhen yang tahun lalu muncul pemain Nigeria pertama memenanginya sejak Nwankwo Kanu pada 1999.
Pemain berusia 27 tahun itu dipilih berdasarkan prestasi konsitennya ketika beraksi untuk Nigeria dan kelab Serie A Atalanta.
Tiga jaringannya membantu Nigeria mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), di mana mereka mendahului tuan rumah Ivory Coast sebelum tewas 1-2 di Abidjan.
Lookman menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Cameroon pada peringkat 16 terakhir dan meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Angola di suku akhir.
Beberapa bulan selepas AFCON, pemain kelahiran London itu mencipta hatrik ketika Atalanta bangkit menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 pada final Liga Europa di Dublin.
“Ini sesuatu yang menakjubkan. Kepada pemain muda Afrika, jangan sesekali berputus asa. Tukar kedukaan kepada kuasa,” kata Lookman kepada pemberita.
Penyerang Zambia Barbra memenagi kategori wanita susulan jumlah jaringannya untuk kelab Amerika Syarikat Orlando Pride dan negaranya.
Dia menjaringkan empat gol untuk Zambia pada Olimpik Paris termasuk hatrik sebelum tewas kepada Australia pada peringkat kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd