Loker Bryant dan jersi 1986 Maradona dilelong

Loker Bryant dan jersi 1986 Maradona dilelong

New York: Loker Kobe Bryant di Staples Center dan jersi Piala Dunia 1986 Maradona dipamerkan di New York, sebahagian daripada lelongan barangan yang jarang di temui di Sotheby.

Loker Bryant, yang digunakan sepanjang kebanyakan kerjayanya bersama Los Angeles Lakers, adalah tarikan utama dalam lelongan yang berakhir 2 Ogos ini.

Loker tersebut dijangka mencapai harga sehingga AS1.5 juta (RM6.98 juta) dengan bidaan mencecah sudahpun mencecah AS700,000 (RM3.3 juta) semalam.

Bryant, seorang pemain NBA dan 18 kali All-Star, meninggal dunia dalam nahas helikopter pada tahun 2020 di usia 41 tahun.

Dia menghabiskan keseluruhan kerjaya NBA nya dari 1996-2016 bersama Lakers.

Menurut Sotheby, seorang pekerja penyelenggaraan menyelamatkan loker itu daripada dibuang pada tahun 2018 semasa pengubahsuaian arena Staples Center. Kemudian, seorang pengumpul Amerika membeli barang itu.

“Loker Kobe Bryant di Staples Center lebih daripada sekadar barang yang berharga; ia adalah artifak perjalanan dia yang tiada tandingan,” kata ketua koleksi moden Sotheby, Brian Wachter.

“Loker ini adalah tempat perlindungan Kobe di tengah-tengah kejayaan dan cabaran, menjadi saksi kepada kejayaan dan kesukaran dalam kerjaya yang penuh cerita.

“Setiap pencapaian dan kesulitan meninggalkan kesannya di dalam dinding ini.”

Jualan di Sotheby turut menampilkan barangan berharga daripada ikon sukan seperti Michael Jordan dan Reggie Jackson, serta barangan daripada bintang kontemporari seperti Rafael Nadal dan Stephen Curry.

Loker Bryant akan dipamerkan kepada umum di Sotheby New York sehingga Rabu ini, bersama-sama dengan jersi separuh akhir Piala Dunia 1986 yang ditandatangani pemain legenda Argentina, Maradona dan seluar pendek bintang NBA Jordan dari perlawanan terakhirnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd