Liverpool tumpas mengejut di Anfield

Liverpool tumpas mengejut di Anfield

LONDON: Liverpool dimalukan di laman sendiri apabila tumpas mengejut 0-1 kepada Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Dalam aksi di Anfield itu, gol menakjubkan pemain gantian, Callum Hudson-Odoi pada babak kedua memberikan tiga mata penuh buat Nottingham.

Pada babak pertama, The Reds dilihat lebih mendominasi permainan dengan Luis Diaz hampir menjaringkan gol pada minit ke-17 sebelum bola terkena tiang.

Ketumpulan jentera serangan Liverpool dihukum pada minit ke-72 apabila Anthony Elanga berjaya melakukan umpanan menarik buat Hudson-Odoi.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu kemudian membawa bola masuk sebelum melakukan sepakan lencong untuk menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Selepas menang semua tiga perlawanan pertama liga di bawah bimbingan Arne Slot tanpa dibolosi, Liverpool tampak bergelut untuk kembali bangkit sekali gus terpaksa akur tewas kali pertama dalam saingan musim ini.-AGENSI

Scroll to Top