
Liverpool mencatatkan kerugian RM320 juta musim lalu.
KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool, mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak £57 juta (RM320 juta) musim lalu berikutan peningkatan kos gaji dan pentadbiran kelab, menurut laporan kewangan terbaru yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut laporan tersebut, kos pentadbiran kelab meningkat sebanyak £38 juta kepada £600 juta (RM3.3 bilion), yang sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan gaji serta kos operasi di seluruh kelab.
Walaupun pendapatan keseluruhan Liverpool meningkat sebanyak £20 juta kepada £614 juta (RM3.4 bilion), hasil daripada hak penyiaran mengalami penurunan sebanyak £38 juta kepada £204 juta (RM1.14 bilion).
Penurunan ini disebabkan Liverpool tidak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA kerana kelab itu hanya beraksi dalam Liga Europa musim lalu.
Bagaimanapun, pendapatan hari perlawanan kelab meningkat sebanyak £22 juta kepada £102 juta (RM571 juta), manakala pendapatan komersial turut mencatatkan peningkatan sebanyak £36 juta kepada £308 juta (RM1.72 bilion).
Ketua Pegawai Kewangan Liverpool, Jenny Beacham menegaskan bahawa kelab itu terus memberi keutamaan kepada kestabilan kewangan dalam menguruskan kos yang semakin meningkat.
“Menjalankan kelab secara mampan dari segi kewangan adalah keutamaan kami. Dengan peningkatan kos yang berterusan, adalah penting untuk menambah aliran pendapatan setiap tahun bagi mengekalkan kestabilan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.