Liverpool perlu segera bangkit – Alisson

Liverpool perlu segera bangkit – Alisson

London: Kegagalan besar pertama Liverpool musim ini menjadi kejutan mendadak kepada pasukan Arne Slot, tetapi mereka mesti segera melupakan kekecewaan akibat tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan meraih trofi Piala Liga pada Ahad ini, kata penjaga gol, Alisson.

Kemenangan Paris St Germain (PSG) 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan pusingan 16 terakhir di Anfield, awal pagi tadi, lebih sukar diterima berbanding penyingkiran mengejut Liverpool kepada pasukan divisyen kedua, Plymouth Argyle, dalam saingan Piala FA.

Selepas menamatkan peringkat kumpulan UCL membabitkan 36 pasukan di tempat teratas, tersingkir di pusingan kalah mati pertama adalah tamparan hebat yang menyebabkan penyerang Mesir, Mohamed Salah, menitiskan air mata.

Namun, dia tidak perlu menunggu lama untuk menebus kekecewaan itu apabila Liverpool akan beraksi di Wembley menentang Newcastle United dalam perlawanan akhir Piala Liga, Ahad ini, yang juga kejohanan dimenangi mereka tahun lalu buat kali ke-10 – satu rekod di bawah bekas pengurus, Juergen Klopp.

“Ia sukar diterima kerana kami tahu boleh melakukan lebih baik, tetapi kami tidak mempunyai banyak masa untuk merungut.

“Kami ada perlawanan akhir hujung minggu ini dan masih perlu meneruskan saingan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL),” kata Alisson, yang aksi cemerlangnya dalam perlawanan pertama menentang PSG di Paris, minggu lalu akhirnya tidak mencukupi.

“Kami perlu menggunakan masa ini untuk pulih. Kami bersyukur kerana mempunyai masa yang cukup untuk melakukannya kerana kami tahu ia akan menjadi perlawanan sukar menentang lawan yang kuat.

“Kami perlu bekerja keras sebagai satu pasukan untuk memenangi trofi dan matlamat kami adalah memenangi semua trofi yang mampu.”

Liverpool hampir pasti menandakan musim pertama Arne Slot sebagai pengurus dengan menjuarai EPL dan menyamai rekod 20 gelaran liga yang dimenangi Manchester United.

Dengan baki sembilan perlawanan, mereka mempunyai kelebihan 15 mata ke atas Arsenal di tempat kedua dan boleh mengesahkan kejuaraan sebelum Easter.

Namun, pertembungan dengan Newcastle yang memburu trofi utama pertama mereka dalam tempoh 70 tahun, membawa cabaran jauh lebih besar.

“Angkat muka dan bersedia untuk cabaran seterusnya,” kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk.

“Ia adalah perlawanan yang indah hujung minggu ini, jadi kami akan terus berjuang. Semua orang perlu berada pada tahap terbaik menentang Newcastle yang sangat baik. Saya benar-benar tidak sabar untuk menghadapinya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top