Liverpool kelab paling indah di dunia – Van Dijk

Liverpool kelab paling indah di dunia – Van Dijk

Liverpool: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, menyifatkan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebagai satu pencapaian yang tidak akan sesekali dianggap remeh oleh kelab itu selepas membelasah Tottenham Hotspur 5-1 di Anfield, awal pagi tadi.

Kemenangan Liverpool memberikan pasukan Arne Slot mendahului 15 mata mengatasi Arsenal di tangga kedua dengan baki empat perlawanan musim ini dan merangkul kejuaraan buat kali kedua dalam era Liga Perdana.

“Ia sangat istimewa dan bukan sesuatu yang kami ambil mudah. Hari ini memang luar biasa,” kata Van Dijk ketika seluruh skuad melakukan pusingan penghormatan di hadapan penyokong di Anfield.

“Banyak emosi sepanjang minggu ini sebelum perlawanan dan juga ketika permainan berlangsung. Tapi kami berjaya selesaikan tugas dan kami benar-benar layak untuk bergelar juara England.

“Ini kelab paling indah di dunia. Saya rasa kami memang layak untuk semua ini. Mari kita nikmati beberapa minggu akan datang dan biarkan semuanya perlahan-lahan meresap ke dalam hati,” katanya.

Liverpool sebelum ini kali terakhir menjulang trofi Liga Perdana lima tahun lalu ketika era pandemik Covid-19 namun sambutan kali ini jauh lebih meriah dengan ribuan penyokong membanjiri Anfield, menyanyikan lagu keramat “You’ll Never Walk Alone.”

“Saya memang teringin sangat mereka (penyokong) ada bersama kami, untuk seluruh penyokong di seluruh dunia, untuk semua yang hadir di sini… dan juga untuk kami sendiri.

“Kami dah menangi dua trofi Liga Perdana dalam tempoh lima tahun — itu masih satu pencapaian yang hebat,” jelas Van Dijk lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top