Manchester: Mohamed Salah berkata Liverpool memerlukan satu lagi gelaran Liga Perdana selepas memimpin kemenangan 2-0 di Manchester City yang membolehkan mereka mendahului 11 mata di puncak liga.
Salah memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah Reds itu, membuka jaringan dan kemudian memberikan assist kepada Dominik Szoboszlai untuk menggandakan kelebihan Liverpool sebelum rehat.
Di bawah pimpinan Arne Slot, Liverpool kini berada dalam kedudukan kukuh untuk mengekalkan gelaran ke-20 Liga Inggeris, menyamai rekod yang dipegang oleh Manchester United, walaupun pasukan kedua, Arsenal, masih memiliki satu perlawanan tertangguh.
Man City, yang memenangi empat gelaran Liga Perdana berturut-turut, kini tertinggal 20 mata di belakang di tempat keempat.
“Ia sungguh luar biasa. Tempat yang sangat sukar untuk bermain di sini.
“Mereka adalah pasukan yang kuat dan mereka mempunyai pengurus yang hebat, saya gembira akhirnya kami menang. Ini istimewa. Terutama apabila anda berada dalam perlumbaan gelaran, ia sangat luar biasa,” kata Salah selepas kemenangan pertama Liverpool di Etihad dalam tempoh satu dekad.
Salah menambah lagi jumlah golnya kepada 30 gol dan 21 assist untuk musim yang luar biasa dan berkata dia lebih menikmati permainan bolanya daripada sebelum ini walaupun ada spekulasi mengenai masa depannya.
Pemain berusia 32 tahun itu, bersama kapten Virgil van Dijk, Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson, adalah sebahagian daripada pasukan Liverpool yang menamatkan penantian 30 tahun untuk memenangi gelaran pada 2020.
Dan Salah mengulangi keyakinannya bahawa mereka memerlukan satu lagi pingat juara Liga Perdana untuk memperkukuh legasi mereka.
“Mungkin orang lebih suka musim pertama saya atau sekarang, tetapi saya lebih suka sekarang kerana memenangi liga, membantu pemain muda, ia sangat istimewa.
“Kami memerlukan satu lagi gelaran. Saya dan pemain besar dalam pasukan ini, kami memerlukan satu lagi gelaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd