Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot, menyifatkan kekalahan pasukannya di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi sebagai “perlawanan terbaik” yang pernah beliau lalui, tetapi mengakui bahawa pasukan pendahulu Liga Perdana itu tidak bernasib baik dalam penentuan sepakan penalti.
PSG menguasai perlawanan pertama minggu lalu tetapi tiba di Anfield dengan ketinggalan 0-1 selepas gol lewat perlawanan Harvey Elliott yang memberi kemenangan untuk Reds di Parc des Princes.
Slot mengakui kecewa dengan penyudah tumpul Liverpool di kedua-dua belah babak selepas jaringan pembukaan Ousmane Dembele pada minit ke-12.
PSG kemudian menang 4-1 melalui sepakan penalti selepas sepakan penalti dari Darwin Nunez dan Curtis Jones diselamatkan oleh Gianluigi Donnarumma.
“Ia adalah perlawanan bola sepak terbaik yang pernah saya lalui. Ia adalah persembahan yang luar biasa, terutama jika dibandingkan dengan minggu lalu.
“Ia mempunyai segala-galanya yang anda mahukan dalam sebuah perlawanan. Dari perspektif Liverpool, kami sekurang-kurangnya boleh menginginkan seri selepas 90 minit.
“Kami mencipta peluang dan kemudian kami ketinggalan 0-1. Tuah tidak menyebelahi kami selepas minggu lalu,” kata Slot.
Liverpool menduduki tangga teratas dalam fasa kumpulan UCL yang baru selepas memenangi tujuh perlawanan pertama mereka.
Slot bagaimanapun mempersoalkan sama ada format baru ini memberi ganjaran kepada kedudukan teratas selepas berhadapan dengan salah satu pasukan terbaik Eropah dalam pusingan 16.
“Kami tersingkir dengan cara yang menakjubkan di Eropah, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan betapa berbaloinya untuk berada di tempat pertama dalam carta liga jika anda berhadapan dengan PSG di pusingan seterusnya.
“Sudah tentu ia satu kejutan (untuk tersingkir). Saya boleh katakan musim lalu kami tidak terbabit dalam UCL, dua musim lalu kami disingkirkan oleh Madrid selepas kalah 2-5 di tempat sendiri.
“Jika anda perlu tersingkir, biarlah keluar seperti kami, berjuang habis-habisan melawan salah satu pasukan terbaik di Eropah,” tambah pengurus dari Belanda itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd