LIVERPOOL FC (LFC) dan Adidas mengumumkan kerjasama pintar sekali gus menandakan kembalinya gergasi pakaian sukan itu sebagai rakan kongsi kit rasmi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
Bermula 1 Ogos, LFC akan kembali mengenakan tiga jalur ikonik Adidas, kali ketiga dalam sejarah gemilang kelab.
Adidas akan membekalkan pelbagai kit perlawanan, kit latihan dan pakaian budaya kepada semua pasukan lelaki, wanita, akademi serta kakitangan Yayasan LFC.
LFC dan Adidas sebelum ini mencatatkan era kejayaan yang luar biasa dengan trofi-trofi berprestij dirangkul.
Kerjasama pertama terjalin dari 1985 hingga 1996 sebelum disambung semula dari 2006 hingga 2012.
Sepanjang tempoh ini, The Reds merangkul pelbagai kejuaraan, termasuk tiga gelaran liga domestik teratas dan tiga Piala FA.
Kit Adidas sinonim dengan kejayaan di LFC dan dianggap antara rekaan yang paling digemari oleh penyokong.
Ketua Pegawai Eksekutif LFC, Billy Hogan berkata, mereka di kelab sangat teruja untuk mengalu-alukan Adidas kembali ke dalam keluarga LFC.
“Kami telah menikmati kejayaan yang hebat bersama pada masa lalu dan mencipta beberapa kit LFC yang paling ikonik sepanjang zaman.
“Adidas dan Liverpool berkongsi cita-cita kejayaan dan kami sangat teruja untuk bekerjasama semula sambil kami berharap untuk mencipta lebih banyak kit yang luar biasa untuk membantu memacu prestasi di padang.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Nike atas sokongan mereka selama lima tahun yang lalu dan mendoakan yang terbaik untuk mereka pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Bjørn Gulden, turut berkongsi kegembiraan apabila Adidas dan Liverpool Football Club bekerjasama sekali lagi.
“Kelab ini adalah salah satu nama terbesar dan paling ikonik dalam bola sepak dunia dengan pangkalan peminat yang besar.
“Jersi yang dipakai semasa kerjasama sebelumnya adalah antara yang terbaik yang pernah dicipta.
“Kami berbesar hati untuk sekali lagi menyediakan pemain dengan teknologi canggih untuk beraksi di peringkat tertinggi dan berharap untuk mencipta lebih banyak klasik untuk peminat.”
Butiran kit baharu Adidas Liverpool, jersi tuan rumah dan jersi pelawat akan didedahkan melalui saluran kelab dan Adidas.