'Lindungi rumah ini, supaya sentiasa tegap, tidak runtuh' – Saarani

'Lindungi rumah ini, supaya sentiasa tegap, tidak runtuh' – Saarani

am@hmetro.com.my

Ipoh: Hampir 20,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah, dekat Meru, di sini, malam ini bagi menyaksikan Sambutan Ambang Kemerdekaan 2024 Peringkat Negeri Perak.

Pelbagai program menarik disusun antaranya persembahan tarian kebudayaan dan deklamasi sajak, selain barisan artis membuat persembahan antaranya Marsha Milan, Ezad Lazim menghiburkan hadirin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut hadir meraikan sambutan bersama rakyat Perak.

Saarani dalam ucapannya menyeru semua pihak menghayati tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka yang bermaksud merdeka bukan sahaja bebas secara zahir, tetapi juga simbol kebebasan minda dan pemikiran.

“Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini harus dijadikan titik mula untuk menggilap semula hubungan harmoni dan mengukuhkan persefahaman sebagai bangsa Malaysia yang bersatu padu.

“Ini negeri kita, ini rumah kita. Peliharalah ia supaya temboknya sentiasa dihiasi dengan kepercayaan.

“Kukuhkan lantai-lantainya dengan tolak ansur dan hormat menghormati. Lindungi atapnya dengan garapan perpaduan dan semangat kebersamaan supaya rumah kita ini sentiasa tegap dan tidak mudah diruntuhkan,” katanya.

Sambutan Ambang Kemerdekaan itu disudahi dengan bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Abdul Hakim Ahamd Salahuddin dari Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top