Lincah selari prestasi

Lincah selari prestasi

lizamridzuan@hmetro.com.my

JENTERA supersport saiz pertengahan Ninja ZX-6R menawarkan ciri jentera prestasi dan pengendalian terbaik dilancarkan baru-baru ini untuk pasaran Malaysia.

Menerusi pengedar utamanya di negara ini, Modenas menyerahkan 100 unit pertama Kawasaki Ninja ZX-6R 2025 kepada pemilik baharu dalam acara khas diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Acara turut disertai peminat motosikal, wakil pengedar dan media serta Ketua Pegawai Pemasaran Modenas Yusaku Kashiwagi yang menyerahkan kunci secara rasmi kepada pemilik baharu.

Kawasaki Ninja ZX-6R 2025 hadir dengan enjin 636cc empat silinder sebaris dengan 124 PS pada 13,000 rpm (129 PS apabila Ram Air beroperasi) dan tork 69Nm pada 11,000 rpm.

Ia dilengkapi quick shifter 6 kelajuan, tiga mod kawalan cengkaman dan paparan TFT 4.3 inci, suspensi hadapan Showa SFF-BP 41 milimeter (mm) Fork USD, belakang Show Uni-TRak Monoshock.

Selain itu dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan brek cakera 310mm hadapan dan 220mm belakang dengan Sistem Brek Anti-Kunci Pintar (KIBS).

Berat jentera sekitar 163 kilogram (kg), ketinggian pelana 795mm sesuai untuk pelbagai saiz penungang dari Asia dan ia juga dengan tangki bahan api 14 liter.

Empat mod tunggangan, Kawalan Cengkaman Kawasaki (KTRC) tiga tahap ketetapan, lampu hadapan dan belakang LED antara ciri tersedia.

Dua pilihan warna metallic flat spark black/ebony dan lime green/ebony dan untuk model ZX-6R 2025 ini ditawarkan pada harga RM59,900. Ia lebih rendah berbanding model 2018 yang berharga RM79,900.

Penurunan harga tersebut kerana ia model pemasangan tempatan (CKD) di kilang Modenas di Gurun, Kedah dan dieksport ke negara China.

Model ZX-6R terkenal sebagai jentera jalanan sesuai bagi tunggangan di litar yang menawarkan pengendalian lebih mudah berbanding jentera 1,000cc.

Ia juga dilengkapi ciri teknologi serta enjin yang responsif seronok bila melayan selekoh dengan ketepatan pengendalian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top