Linangan air mata ibu, anak selamat selepas hilang di laut

Linangan air mata ibu, anak selamat selepas hilang di laut

MELAKA: Hanya linangan air mata menggambarkan perasaan seorang ibu apabila mengetahui anak disayangi yang hilang di tengah lautan selama beberapa hari akhirnya ditemukan selamat.

Esah Mohamad, 80, ketika ditemui, menyatakan rasa syukur apabila anaknya, Rosenizam Maharam, 55, antara dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan di sini pada 15 Januari lalu, berjaya ditemukan di Pulau Rupat, Indonesia

“Hati ibu mana yang tidak risau apabila mendapat tahu anak yang hilang di laut akhirnya ditemukan selepas enam hari, selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Makcik tidak lalu makan dan tidak dapat tidur mengenangkan nasib dan keadaannya sejak hilang pada Khamis lalu. Apabila diberitahu Rosenizam selamat di Pulau Rupat barulah hati makcik lega,” katanya kepada pemberita di Permatang Pasir, Padang Temu di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan di sini ketika keluar memukat sejak seminggu lalu ditemukan selamat di Dumai, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd Aziz berkata, tekong, Muarep Sakem, 63, dan awak-awak Rosenizam Maharam, 55, berjaya diselamatkan oleh nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk ekoran kerosakan enjin yang dialami mereka.

Esah dalam pada itu berkata, dia sudah tidak sabar menanti kepulangan anaknya itu yang banyak menguruskan keadaannya yang berkerusi roda.

“Rosenizam lah yang menguruskan hal makcik kerana tidak boleh berjalan dan duduk hanya di kerusi roda. Sebelum dia turun ke laut dia akan uruskan segalanya termasuk bapanya,” ujarnya lagi.

Sementara itu abang sulung mangsa, Rosli Maharam, 61, berkata, dia mewakili ahli keluarganya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari adiknya itu.

“Kami kini menunggu perkembangan selanjutnya dan jika perlu ke Dumai untuk mengambil mereka, kami sudah bersedia,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Scroll to Top