MOSCOW- Kementerian Luar Rusia mengumumkan lima orang awam terbunuh manakala 46 lagi cedera akibat satu serangan yang didakwa dilakukan Ukraine menggunakan amunisi berkelompok di wilayah Belgorod.
Kementerian itu mengutuk serangan berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘perbuatan barbarik’ sehingga melibatkan ramai mangsa termasuk tujuh kanak-kanak.
Seorang kanak-kanak dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sehingga perlu menjalani pembedahan manakala dua lagi dewasa sedang dipersiap untuk dihantar ke Moscow untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Serangan yang dikatakan menggunakan pelancar pelbagai roket buatan Czech itu telah menyebabkan kerosakan rumah dan infrastruktur awam lain.
Sebagai maklum balas terhadap insiden itu, Jawatankuasa Siasatan Rusia telah membuka kertas siasatan jenayah dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggung jawab.
“Pihak yang bertanggung jawab akan dihukum mengikut undang-undang,” kata pihak berkuasa Rusia.
Kementerian Luar turut menyifatkan serangan tersebut adalah “satu tindakan pengganas yang sudah dirancang lebih awal dan teliti” oleh Kyiv.
Moscow turut mengkritik negara-negara barat dan menuduh mereka menutup sebelah mata terhadap “kekejaman yang dilakukan Ukraine” dengan membekalkan negara itu dengan senjata.
Kementerian Luar menggesa masyarakat antarabangsa serta organisasi terbabit untuk mengecam serangan berkenaan dan menjauhkan diri daripada “rejim Kyiv dan kurator barat.- Agensi