Lima maut dalam letupan di Somalia ketika tonton final Euro

Lima maut dalam letupan di Somalia ketika tonton final Euro

MOGADISHU – Lima orang terbunuh dalam letupan bom kereta lewat Ahad di sebuah kafe di ibu negara Somalia, Ketika premis itu dipenuhi peminat bola sepak yang menonton perlawanan akhir Euro 2024.

“Sebuah bom kereta meletup malam ini di luar RestoranTop Coffee.. yang dilakukan oleh pengganas Khawarij,” lapor Agensi Berita Nasional Somalia, yang merujuk kepada kumpulan Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

SONNA yang memetik jurucakap polis Mejar Abdifitah Aden Hassan yang mengesahkan  lima maut dan kira-kira 20 lagi cedera.

Pengeboman itu berlaku ketika golongan muda sedang menonton perlawanan antara Sepanyol dan England.

Pasukan bomba, polis dan ambulans telah bergegas ke tempat kejadian letupan.

Polis telah mengepung kawasan itu, yang terletak berhampiran dengan perkarangan istana presiden yang dikenali sebagai Villa Somalia dan sangat sibuk pada masa pengeboman.

Al-Shabaab telah melancarkan pemberontakan berdarah terhadap Kerajaan Persekutuan Somalia selama lebih daripada 17 tahun dan telah melakukan banyak pengeboman di Mogadishu dan bahagian lain di negara itu.

Serangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini agak reda apabila kerajaan meneruskan serangan terhadap militan tersebut.

Tetapi pada hari Sabtu, lima banduan yang dikatakan sebagai pejuang Al-Shabaab terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pengawal penjara dalam percubaan mereka untuk membolosi dari penjara utama di Mogadishu.

Tiga pengawal turut terbunuh dan 18 yang lain cedera dalam konfrontasi itu, kata pegawai penjara, selepas banduan berjaya mendapatkan senjata.

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud telah berikrar perang terhadap kumpulan tersebut dan tentera kerajaan telah bergabung tenaga dengan puak pemberontak lain dalam kempen ketenteraan yang disokong oleh pasukan Kesatuan Afrika dan serangan udara Amerika Syarikat.

Tetapi pada awal tahun ini Al-Shabaab mendakwa ia telah mengawal penuh beberapa lokasi di tengah negara.

Walaupun dihalau keluar dari ibu negara oleh tentera AU pada 2011, Al-Shabaab masih kuat di luar bandar Somalia.

Ia telah melakukan serangan berulang kali terhadap sasaran politik, keselamatan dan awam, kebanyakannya di Somalia tetapi juga di negara jiran termasuk Kenya.

Somalia bulan lalu menggesa Kesatuan Afrika memperlahankan rancangan pengunduran tenteranya dari negara bergolak itu.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa bilangan tentera dalam misi pengaman AU, dikenali sebagai ATMIS, dikurangkan kepada sifar menjelang 31 Disember dengan keselamatan diserahkan kepada tentera dan polis Somalia.

Fasa ketiga dan terakhir ialah menyaksikan 4,000 tentera daripada jumlah keseluruhan 13,500 tentera ATMIS dikeluarkan menjelang akhir Jun.

Tetapi, berikutan permintaan daripada Kerajaan Somalia, hanya 2,000 tentera keluar pada Jun dan baki 2,000 pada September. – Agensi