'Lily' tidak mungkin mati kerana serangan anjing liar

'Lily' tidak mungkin mati kerana serangan anjing liar

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kucing betina yang ditemui mati di Universiti Malaya (UM) dalam keadaan menyayat hati apabila empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan didakwa dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.

Aktivis haiwan, Shima Aris berkata, perkara itu diperoleh hasil pemeriksaan terperinci dilakukan doktor veterinar di sebuah klinik veterinar swasta di sini yang turut melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas kucing yang dinamakan Lily itu.

Menurutnya, dia meminta doktor pakar veterinar melihat bangkai haiwan berkenaan dengan lebih terperinci bagi mengenal pasti punca sebenarnya kematian.

“Saya sudah menerima laporan perubatan dan juga x-ray yang mengatakan dengan jelas Lily bukan mati sebab dibunuh oleh anjing.

“Daripada laporan perubatan boleh mengatakan (menjelaskan) bahagian tubuh badannya (kucing berkenaan), seperti kita tengok dalam gambar, dipotong dengan menggunakan senjata yang tajam.

“Di mana agak mustahil kalau kita mengatakan anjing yang melakukan perbuatan itu,” katanya dalam video sidang media yang dikongsikan di TikTok @mystrayrescue, malam tadi.

Katanya, justeru dia ingin menegaskan dan meminta pihak berkaitan menjalankan siasatan lebih terperinci berhubung kes terbabit dan mengambil tindakan terhadap pelaku.

“Buat masa ini, kita tak pasti adakah pembunuh itu masih berada di kawasan kampus. Kita perlu memikirkan keselamatan bukan saja kucing dan anjing tetapi penuntut yang ada di kampus itu,” katanya.

Shima berkata, Lily yang ditemui mati diserahkan kepadanya pada 20 Disember lalu dan kucing berkenaan sangat disayangi oleh penuntut serta fakulti universiti berkenaan.

Untuk rekod, sebelum Lily ditemui mati dalam keadaan menyayat hati, dua kucing lain yang keempat-empat kakinya seperti dipotong dan perutnya juga terbelah turut ditemui mati di universiti itu.

Perkongsian kejadian berkenaan turut tular dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat termasuk aktivis serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan haiwan di media sosial sejak beberapa hari ini.

Bagaimanapun polis memaklumkan kematian haiwan itu dipercayai akibat serangan sekumpulan anjing liar.

Semalam, media melaporkan Kelab Kucing Malaysia berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan siasatan lebih terperinci dalam kes tiga kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati termasuk empat kakinya dipotong dalam kejadian di universiti berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top