London: Harry Kane akan kekal sebagai kapten England apabila Thomas Tuchel mengambil alih sebagai pengurus pada Januari ini sekali gus menyaksikan bahawa semua pemain akan mendapat peluang baru ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2026 bermula di bawah pimpinannya.
England diundi dalam Kumpulan K bersama Serbia, Albania, Latvia, dan Andorra pada majlis undian di Zurich yang juga adalah tugasan pertama Tuchel sebagai pengurus England.
Beliau diumumkan sebagai ketua jurulatih pada Oktober lalu namun akan memulakan tugas pada 1 Januari menjelang aksi kelayakan Piala Dunia.
“Ketika ini, tiada keperluan untuk berfikir mengenai perubahan.
“Harry sentiasa menjadi kapten yang hebat untuk England. Jadi kenapa perlu memikirkannya sekarang?”
“Kamu akan menyeberangi sungai apabila mahu menyeberanginya. Pertama, pada Januari, kami akan berhubung dengan semua pihak dan merasai suasana di St George’s Park serta pemainnya.
“Sehingga Mac, masih banyak perlawanan yang perlu dimainkan dan kemudian kami akan cuba mencari kumpulan terbaik untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang,” kata Tuchel kepada wartawan.
Tuchel, 51, mencadangkan bahawa beliau akan bertindak secara bebas daripada keputusan bekas pengurus Gareth Southgate, dan membina pasukan sendiri dengan memberi peluang kepada semua pemain beraksi.
Salah seorang pemain yang dijangka akan berbincang dengan Tuchel adalah pertahanan Arsenal, Ben White, yang tidak mahu dipertimbangkan untuk pemilihan selepas meninggalkan skuad secara mengejut semasa Piala Dunia 2022 atas sebab peribadi.
“Saya akan menghubunginya. Ia harus bermula dengan bersih dan dengan naratif yang jelas,” kata Tuchel.
White, yang setakat ini hanya membuat empat penampilan persahabatan untuk England, dikatakan mempunyai isu peribadi dengan Southgate dan pembantunya, Steve Holland, yang kemudian dinafikan oleh bekas pengurus itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd