Liga Super: Aksi tangkas Muhamad Aqil gagal halang kemenangan Perak

Liga Super: Aksi tangkas Muhamad Aqil gagal halang kemenangan Perak

SEREMBAN: Jika tanpa aksi tangkas, Muhamad Aqil Abdul Razak sudah tentu pasukan Perak FC berpesta gol dalam kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super petang tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini itu menyaksikan Perak menang dengan keputusan 1-0.

Muhamad Aqil malahan turut menyelamatkan penalti hasil sepakan ketua pasukan Perak, Luciano Guaycochea pada minit ke-63.

Namun aksi cemerlangnya itu tidak cukup menafikan pasukan pelawat untuk meraih kemenangan ketika mereka dalam aksi Liga Super.

Dalam perlawanan tersebut, pelawat yang dibimbing ketua jurulatih, Yusri Che Lah sememangnya lebih banyak menguasai perlawanan.

Namun gol mereka hanya muncul pada minit ke-47 menerusi penyerang, Clayton Da Silviera Da Silva yang mudah menyempurnakan peluang terhidang di gawang Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan sekali sekala melakukan serangan balas bagi meraih gol penyamaan termasuk menerusi percubaan luar kotak penalti oleh A. Selvan namun tidak dapat menewaskan Muhammad Haziq Nadzli di gawang Perak.

Aksi berbalas serangan disaksikan namun sehingga tamat perlawanan, keputusan kekal sekali gus Perak meraih tiga mata di gelanggang lawan.

Selepas melalui lapan perlawanan, Perak kini mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan manakala Negeri Sembilan kekal empat mata hasil satu kemenangan dan satu kali seri selepas sembilan perlawanan.-UTUSAN.

Scroll to Top