Liga M: Negeri Sembilan sambar dua pemain import

Liga M: Negeri Sembilan sambar dua pemain import

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC terus agresif melakukan persiapan menjelang saingan baharu Liga Malaysia (Liga M) yang bermula Mei ini apabila mengumumkan dua pemain import iaitu tonggak kelahiran Senegal dan Jepun bagi melengkapkan pasukan.

Jacque Faye yang merupakan bekas pemain PDRM FC sah menjadi sebahagian daripada keluarga besar pasukan Negeri Sembilan FC.

Pemain berusia 29 tahun ini berjaya membantu skuad The Cops memenangi Piala Cabaran dan mencatatkan 710 minit permainan dalam saingan Liga Super musim lalu.

“Saya telah memenangi Piala Cabaran bersama PDRM FC musim lepas. Saya juga memenangi beberapa pertandingan di negara asal saya. Menyertai Negeri Sembilan FC juga merupakan satu pencapaian bagi saya.

“Saya bermain menentang pasukan ini (Negeri Sembilan FC) pada musim lepas. Ia merupakan satu pasukan yang hebat,” katanya di media sosial kelab di sini.

Foto Facebook Negeri Sembilan FC.

Sementara itu, Negeri Sembilan juga mengumumkan kehadiran pemain dari Jepun iaitu Takumi Sasaki yang akan bermain di posisi tengah.

Takumi kini berusia 25 tahun dan merupakan bekas pemain kebangsaan Jepun Bawah 20 tahun selain pernah beraksi bersama pasukan Ehime FC sebelum ini.

Untuk rekod, Takumi mencatatkan sebanyak 22 perlawanan sekali gus berjaya meledak dua jaringan dalam saingan Liga J3 musim 2023 bersama Ehime FC. – MalaysiaGazette

Scroll to Top