Paris: Porto dan Roma terikat 1-1 pada perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Europa awal pagi tadi, manakala pasukan Fenerbahce kendalian Jose Mourinho mengorak langkah lebih dekat ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Anderlecht.
Zeki Celic memberikan Roma, naib juara 2023, kelebihan pada babak pertama masa kecederaan di Portugal, namun rembatan lenecong pemain pertahanan Porto, Francisco Moura, memastikan kedua-dua pasukan akan bertemu di Itali minggu depan dengan kedudukan seimbang.
Roma bermain 18 minit terakhir dengan kekurangan seorang pemain selepas Bryan Cristante dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning, manakala pengurus Claudio Ranieri kelihatan marah selepas wisel penamat.
Di Turki, dua bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Dusan Tadic dan Edin Dzeko, menjaringkan gol pada separuh pertama untuk Fenerbahce sebelum pemain antarabangsa Maghribi, Youssef En-Nesyri, menanduk gol ketiga untuk Galatasaray, menguasai perlawanan.
Mourinho memenangi pertandingan ini bersama Porto pada tahun 2003 dan sekali lagi bersama Manchester United pada tahun 2017, juga mara ke final ketika beliau mengendalikan Roma dua tahun lalu.
“Kami bermain dengan sangat baik, tetapi saya tidak boleh mengatakan ia ‘keputusan yang baik’. Kami perlu mara ke pusingan seterusnya untuk ini menjadi keputusan yang baik.
“Biasanya, sudah tentu, apabila anda mendahului 3-0, anda gembira, tetapi masih ada perlawanan kedua. Oleh itu, segala-galanya masih terbuka,” kata Mourinho.
Real Sociedad menang 2-1 di tempat lawan ke atas Midtjylland selepas sepakan penalti dari Brais Mendez dan gol hebat oleh pemain sayap Jepun, Takefusa Kubo, membawa mereka menewaskan juara Denmark, yang merapatkan kedudukan menerusi gol Adam Buksa.
Pemenang perlawanan ini akan bertemu Manchester United atau Tottenham di pusingan 16 terakhir.
Ajax menguasai perlawanan mereka menentang kelab Belgium, Union Saint-Gilloise, dengan kemenangan 2-0 di Brussels.
AZ Alkmaar membelasah Galatasaray 4-1 dengan Sven Mijnans, Troy Parrott, Jordy Clasie dan David Moller Wolfe masing-masing menjaringkan gol untuk tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd