Liek Hou optimis mara final Paralimpik Tokyo

Liek Hou optimis mara final Paralimpik Tokyo

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki badminton para negara, Cheah Liek Hou optimis mampu mara ke final Sukan Paralimpik Tokyo 2020, pada Ogos ini.

Katanya, dua kejuaraan berturut-turut yang dilakar iaitu pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa di Dubai bulan lalu dan yang terbaru di Sepanyol, dua minggu lalu meningkatkan lagi motivasinya untuk mengejar impian meraih pingat pada temasya terbesar dunia itu.

“Tahap keyakinan saya semakin meningkat tetapi saya tidak boleh janji mampu untuk meraih emas (di Sukan Paralimpik) kerana saya tidak tahu keadaan dan tahap prestasi saya ketika itu

nanti.

“Namun, saya memang meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara sehingga final,” kata Liek Hou yang secara tidak rasmi sudah pun melayakkan diri ke Sukan Paralimpik yang akan bermula pada 24 Ogos hingga 5 September ini.

Dia yang kini menghuni ranking nombor dua dunia bagi kategor SU5 (kecacatan bahagian atas tubuh badan) menyifatkan berbaki 91 hari sebelum temasya Paralimpik bermula adalah tempoh yang paling mencabar untuk dia melakukan persiapan.

“Aksi di Sepanyol adalah sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi Sukan Paralimpik tahun ini, di sana saya dapat menentang dengan pemain yang ranking lebih rendah. Jadi, saya tahu tahap mereka dan tahu apa yang yang perlu saya perbaiki.

“Saya akan memulakan latihan berintensiti tinggi sebaik kembali berlatih selepas tamat menjalani kuarantin untuk persiapan ke Tokyo,” katanya yang dibimbing bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Rashid Sidek.

Di Sepanyol, Liek Hou muncul juara selepas mengatasi pemain Jepun, Taiyo Imai dalam aksi final manakala di Dubai dia menumbangkan musuh tradisinya yang juga pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top