Letupan paip gas Putra Heights: 220 rumah disahkan selamat diduduki

Letupan paip gas Putra Heights: 220 rumah disahkan selamat diduduki

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Subang Jaya: Sebanyak 220 rumah daripada 439 rumah penduduk yang terjejas insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, Selasa lalu, disahkan selamat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu hasil penilaian kali kedua yang lebih terperinci dilakukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan radius yang lebih besar iaitu 325 meter (m) berbanding sebelum ini 280m.

“Hasil penilaian ini, pihak bomba mengesahkan daripada 439 rumah yang dinilai dalam radius berkenaan, sebanyak 220 rumah adalah selamat iaitu tidak terjejas. Manakala rumah terjejas adalah sebanyak 219 rumah.

“Daripada jumlah ini, 87 adalah mengalami kerosakan melebihi 20 peratus iaitu kerosakan besar dan 132 mengalami kerosakan kecil iaitu kurang daripada 20 peratus,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, bagi rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau tuan rumah bermula hari ini dan senarai rumah berkenaan akan diedarkan serta dimaklumkan kepada penduduk.

“Sehingga kini, sebanyak 130 rumah sudah boleh diduduki semula dengan 45 rumah sudah kembali berpindah. Bagi Kampung Kuala Sungai Baru, sebanyak 24 rumah boleh diduduki, jadi jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154 rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top