sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa melihat permainan yang ditampilkannya di atas gelanggang semakin baik dan berharap prestasi itu dapat diteruskan dalam kejohanan akan datang.
Jelasnya, dengan kehadiran ketua jurulatih perseorangan, Kenneth Jonassen, ia juga banyak membantu dirinya terus meningkat lebih baik daripada sebelum ini.
Pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 (BAMTC), Letshanaa diberikan peranan selaku pemain utama dan dirinya berjaya mencatat satu kemenangan daripada dua perlawanan peringkat Kumpulan B.
“Saya rasa permainan saya semakin berkembang dengan baik. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Jonassen, ia membantu permainan saya daripada segi mental dan beberapa perkara lain.
“Saya rasa, saya perlu memperbaiki lagi permainan dan saya perlu lebih konsisten dalam setiap permainan. Saya rasa ini salah satu perkara yang penting,” katanya.
Ketika ini, pemain berusia 22 tahun itu dilihat bakal menjadi pemain perseorangan wanita utama negara sekiranya Goh Jin Wei membuat keputusan untuk menggantung raket daripada terus beraksi.
Selain itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga menagih kepakaran Jonassen untuk melahirkan pemain perseorangan yang terbaik terutama untuk kategori wanita.
Untuk rekod, selepas Datin Wong Mew Choo bersara, Malaysia dilihat agak sukar untuk memberi saingan dalam kejohanan tertinggi seperti Super 750 dan 1000.
© New Straits Times Press (M) Bhd