Letak notis perkauman di gerai jagung: Penjual didenda RM400, isteri dipenjara

Letak notis perkauman di gerai jagung: Penjual didenda RM400, isteri dipenjara

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penjual jagung bakar yang mencetuskan kontroversi kerana meletakkan notis berbaur perkauman di gerai jualannya di Kota Warisan, Sepang, didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Isterinya, seorang warga Indonesia dipenjara tiga bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pasangan suami isteri itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Lelaki berusia 64 tahun itu, sebelum ini ditahan bersama isterinya yang berusia 52 tahun pada 17 Februari lalu di Jalan Labuhan Dagang-Nilai, Sepang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G K Shan Gopal, berkata tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan pada 16 Februari lalu berkait video tular di media sosial kejadian seorang peniaga jagung meletakkan notis berbaur perkauman.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan arahan diberikan untuk menuduh penjual jagung ini di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bersama pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan

“Isteri peniaga ini dituduh di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya Mahkamah Majistret Sepang menjatuhkan hukuman denda RM400 ke atas peniaga manakala isteri dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.

“Polis Daerah Sepang menasihati orang ramai agar menjaga hubungan antara kaum dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top