Beijing: Hanya bermodalkan 2,000 yuan (kira-kira RM1,218) untuk bermain permainan lempar cincin, seorang lelaki di China untung besar selepas memenangi kereta sport Maserati bernilai 1.7 juta yuan (kira-kira RM1.04 juta).
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Wang dari Binzhou, wilayah Shandong, timur China, meraih kemenangan bermain permainan itu di pasar malam di Shangqiu, wilayah Henan, utara China.
Gerai permainan itu menawarkan kereta sport Maserati sebagai hadiah utama dalam cabaran lempar cincin bagi menarik penyertaan ramai peserta.
Selepas hampir tiga jam Wang bermain dan melontar hampir 8,000 cincin, dia akhirnya memenangi kenderaan mewah itu.
“Saya melemparkan ribuan cincin, dan tangan saya masih terasa agak sakit.
“Pada mulanya, saya hanya mencubanya, dan saya rasa kejayaan saya kerana nasib,” kata Wang.
Wang juga mendedahkan yang dia suka bermain bola keranjang pada masa lapang.
“Saya cukup mahir dalam jaringan tiga mata (dalam bola keranjang) dan sering bermain lempar cincin di pasar malam. Saya biasanya memenangi sesuatu.
“Sebagai contoh, ketika Tahun Baharu Cina, saya membelanjakan 150 yuan (kira-kira RM91) untuk permainan itu dan memenangi enam angsa,” katanya.
Wang adalah seorang profesional dalam permainan itu kerana pada 2021, dia berkongsi kemahirannya itu menerusi video yang memperoleh lebih daripada 500,000 tontonan.
Permainan berkenaan memerlukan pemain membaling objek berbentuk cincin pada sasaran untuk memenangi hadiah.
Selain kereta, gerai permainan itu juga menawarkan hadiah menarik lain termasuk lembu dan biri-biri dan pelbagai haiwan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd