
Kesemua lima pengarah bebas bukan eksekutif MAHB telah mengemukakan peletakan jawatan mereka susulan penyahsenaraian syarikat itu daripada Bursa Malaysia.
KUALA LUMPUR – Kesemua lima pengarah bebas bukan eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengemukakan peletakan jawatan mereka susulan penyahsenaraian syarikat itu daripada Bursa Malaysia berikutan pengambilalihan oleh Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA).
Pengerusi MAHB, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, peletakan jawatan pengarah bebas itu akan berkuat kuasa pada tarikh penyahsenaraian.
Beliau berkata, pengarah bebas bukan eksekutif itu termasuklah Datuk Mohamad Husin, Ramanathan Sathiamutty, Cheryl Khor Hui Peng, Datuk Seri Koe Peng Kang dan Chris Chia Woon Liat.
“Pengarah bukan bebas bukan eksekutif Tan Sri Zainun Ali, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pengarah, juga telah mengemukakan peletakan jawatannya berikutan tamat tempoh perkhidmatannya sebagai penama Kementerian Kewangan (Diperbadankan) pada 16 Februari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Nungsari berkata, kumpulan itu mengadakan mesyuarat terakhir lembaga pengarahnya sebagai syarikat tersenarai Bursa semalam, menandakan berakhirnya perjalanan 25 tahunnya sebagai entiti tersenarai awam bermula pada November 1999 apabila mencatatkan dagangan sulung pada RM2.50 sesaham.
“Tawaran oleh konsortium GDA untuk menstruktur semula MAHB baru-baru ini dimuktamadkan pada harga RM11.00 sesaham. Ini mencerminkan kadar pertumbuhan purata terkompaun (CAGR) harga saham melebihi enam peratus sepanjang tempoh 25 tahun.
“Syarikat itu juga mengagihkan sejumlah RM2.81 bilion dividen sehingga 2023,” katanya.
Nungsari berkata, MAHB bermula sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, kemudian menjadi sebuah entiti korporat dan seterusnya sebuah syarikat senaraian awam.
Cadangan penyahsenaraan dan penstrukturan semula itu akan menyaksikan MAHB muncul sebagai syarikat pemegang saham tunggal, dimiliki 100 peratus oleh GDA, dengan kerajaan kekal sebagai pemegang saham khas.
Beliau berkata, pemegang saham baharu akan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan syarikat, pekerjanya dan pembangunan sektor penerbangan Malaysia.
“Saya mengharapkan mereka akan membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi sambil memenuhi obligasi perjanjian operasi di Malaysia dan perjanjian konsesi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen,” katanya. – Bernama