Lelaki warga asing mati ditetak akibat dendam

Lelaki warga asing mati ditetak akibat dendam

am@hmetro.com.my

Beaufort: Dendam dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga asing ditetak hingga mati dalam kejadian di Kampung Balibata, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia lingkungan 30-an ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan belakang lehernya.

Ketua Polis Daerah Beaufort Superintendan Wong Leong Meng berkata, hasil siasatan, mangsa lelaki warga Filipina tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian di atas tanah yang berlumuran darah.

“Turut terdapat dua kesan tetakan di siku lengan kiri dan belakang leher mangsa yang dipercayai disebabkan tetakan senjata tajam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, katanya Op Tutup serta Op Kesan dilancarkan oleh beliau sendiri bersama sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah.

“Selepas kira-kira 12 jam operasi dilancarkan, suspek warga Filipina berusia lingkungan 70- berjaya diberkas berhampiran Kampung Balibata, 2.30 petang tadi.

“Pasukan operasi turut merampas senjata yang digunakan suspek dalam kejadian itu. Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan dendam,” katanya.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top