Lelaki ugut bapa saudara isu pajakan kebun durian ditahan

Lelaki ugut bapa saudara isu pajakan kebun durian ditahan

Balik Pulau: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mengugut untuk mencederakan bapa saudaranya berhubung pertikaian pajakan kebun durian.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di tepi jalan Lintang Sungai Burung 1 menerusi Op Cantas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, berdasarkan laporan, pengadu mendakwa menerima ugutan daripada suspek yang dihantar menerusi pesanan suara di aplikasi WhatsApp.

“Suspek dikatakan mengancam untuk mencederakan pengadu sekiranya dia pergi ke kebun durian berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian adalah kerana isu tunggakan sewa pajakan berjumlah RM12,500, yang kemudian membawa kepada pertikaian selepas kebun tersebut dipajak kepada pihak lain dengan nilai RM100,000 untuk tempoh lima tahun,” katanya di sini, hari ini.

Sazalee berkata, dalam operasi itu polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top