Lelaki tersangkut atas pokok selepas cedera ditimpa dahan dipotong

Lelaki tersangkut atas pokok selepas cedera ditimpa dahan dipotong

am@hmetro.com.my

Sik: Lelaki cedera di kaki kiri selepas dihempap dahan pokok sebesar 0.25 meter yang dipotongnya ketika sedang melakukan kerja pemotongan pokok di belakang kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Dusun, di sini hari ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu dikatakan sedang memangkas dahan pokok berkenaan seorang diri sebelum kejadian berlaku dan disedari kakitangan sekolah yang menghubungi Bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.50 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Ku Basry Ku Chik bersama enam anggota tiba di lokasi untuk membantu mangsa yang ketika itu masih tersangkut di celahan pokok berkenaan pada ketinggian 4.57 meter.

“Anggota Bomba menggunakan tangga dan peralatan khas bagi membantu mengeluarkan mangsa dari celahan pokok berikutan mangsa mengalami kecederaan di kaki.

“Operasi menurunkan mangsa bersama seunit gergaji berantai dilakukan ketika hujan lebat yang mengambil masa hampir 10 minit.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sik dengan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Zulkhairi turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di daerah ini supaya melakukan kerja penebangan pokok dengan berhati-hati dan memakai pakaian serta peralatan yang sesuai bagi mengelak kecederaan berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd