Dubai: Seorang lelaki yang menunjukkan tingkah laku ‘terlalu obsesif’ terhadap bintang tenis Britain, Emma Raducanu, semasa kejohanan di Dubai ditahan dan dikenakan perintah sekatan, menurut kenyataan pihak polis semalam.
Emma, 22, jelas kelihatan terganggu ketika tewas dalam dua permainan awal perlawanan pusingan kedua menentang Karolina Muchova dari Republik Czech Selasa lalu, sebelum mendekati kerusi pengadil bagi melaporkan kehadiran lelaki berkenaan.
Pemain itu seketika berlindung di belakang kerusi pengadil dan memaklumkan pegawai kejohanan sebelum lelaki berkenaan diiring keluar dari venue.
Karolina turut bergegas ke arah Emma untuk menenangkannya sebelum perlawanan bersambung.
Menurut laporan, lelaki itu menghampiri Emma di kawasan awam Isnin lalu, memberikan sekeping surat dan mengambil gambar bersamanya sebelum duduk di barisan hadapan ketika perlawanan berlangsung pada Selasa.
“Susulan aduan Emma, Polis Dubai menahan seorang pelancong yang menghampirinya, meninggalkan nota, mengambil gambarnya, dan berkelakuan dengan cara yang menyebabkan gangguan emosi,” menurut kenyataan polis.
Meskipun Emma kemudiannya menarik balik dakwaan, individu terbabit menandatangani perjanjian rasmi untuk menjauhkan diri daripadanya dan diharamkan daripada menghadiri sebarang kejohanan pada masa hadapan.
Badan induk tenis wanita, WTA, turut mengesahkan bahawa lelaki itu kini dilarang daripada menghadiri semua acara di bawah penganjuran mereka.
Emma, dalam kenyataan pada Rabu lalu, berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka selepas melalui pengalaman yang disifatkannya sebagai ‘sukar’ sambil memberi jaminan, “Saya akan baik-baik saja.”
© New Straits Times Press (M) Bhd