rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai tergamak membunuh ibu dan menyimpan mayat wanita itu di dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu.
Perbuatan lelaki berusia 50-an terbabit bagaimanapun terbongkar selepas kediamannya di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG di sini, diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada suspek kira-kira 9 pagi hari ini.
Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat dan pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya yang disimpan dalam peti sejuk beku.
Menurut sumber, suspek mendakwa membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
“Mangsa dipercayai dipukul sebelum dibalut dengan tuala dan plastik lalu diletakkan dalam peti ais itu.
“Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik,” katanya.
Susulan laporan itu, sumber berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd