norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sejak bergelar ‘duda hot’, apa saja produk dilancarkan pelakon dan penyanyi Fattah Amin, 35, ketika ini pasti cepat tular dan sohor kini (trending) di media sosial sekali gus bertebaran di ‘For You Page’ (FYP).
Terbaharu, Fattah yang muncul dengan single Lelaki Terakhir bersyukur dengan sambutan luar biasa peminat terhadap muzik video lagu ciptaan Mel Ramlan itu apabila ‘trending’ di YouTube Music Malaysia.
Muzik video lagu Lelaki Terakhir dimuatnaik di saluran YouTube Fattah dua hari lalu sejak 21 Februari, kini berada di tangga #26 ‘trending’ muzik yang sudah ditonton lebih 50,000 pelayar dengan tanda suka lebih 3,000.
Fattah berkata, dia gembira lagu baharunya, Lelaki Terakhir itu berjaya menghangatkan industri muzik tanah air meskipun ia single bergenre balada romantik yang mengisahkan cinta sejati, kesetiaan dan perjuangan dalam hubungan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu ini (Lelaki Terakhir). Saya tak sangka ia diterima dengan begitu baik dan ‘trending’ di YouTube dalam masa singkat.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna untuk saya dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang memberi sokongan. Sejujurnya, perjalanan menghasilkan lagu ini bukan perkara mudah.
“Tapi, dengan sokongan pasukan peminat saya yang hebat memberi satu semangat padu kepada saya sebagai dorongan untuk sentiasa terus membuat karya lagu lebih baik, menjadi inspirasi dan mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.
Menurut Fattah lagi, dia yang bertindak sebagai penulis lirik bersama Mel Ramlan menyifatkan lagu Lelaki Terakhir itu dekat dengan sesiapa saja yang berhadapan dugaan dalam hubungan cinta.
“Lagu Lelaki Terakhir ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran. Namun, jika disertai dengan kesetiaan dan doa-doa, pasti cinta itu akan kekal hingga ke akhir hayat.
“Harapan saya agar lagu ini dapat memberi inspirasi kepada semua pendengar. Ditambah, Lelaki Terakhir ini adalah gabungan muzik moden dengan sentuhan balada klasik yang sesuai dinikmati semua peringkat usia,” katanya.
Jelas Fattah, tujuan lagu Lelaki Terakhir itu dihasilkan kerana ia adalah lagu runut bunyi (OST) drama bersiri, Keluarga Itu lakonannya sebagai Ansara yang diarahkan Nur Ain Sharif dan skrip oleh Eirma Fatima.
Drama Keluarga Itu terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Paduka Umie Aida, Izara Aishah, Duerra Mitilda, Puteri Balqis, Amir Ahnaf dan Muaz Zabir akan menemui penonton TV3 mulai 28 Februari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd