am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang lelaki sanggup memecah masuk sebuah surau di Kampung Mambau di sini, untuk mencuri duit tabung derma sejurus selepas solat Subuh, Sabtu lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira 7.15 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan, menunjukkan suspek memotong mangga pada pagar jeriji besi sebelum mengumpil tabung derma.
Penduduk mendakwa lelaki terbabit menaiki motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton X50 sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima satu laporan kejadian itu yang dibuat bilal Surau Al-Muqarrabin.
“Semakan pada rakaman CCTV menunjukkan kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenal pasti memakai topi keledar dan jaket berwarna gelap dari arah belakang surau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan giat memburu suspek.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hazrat Abdul Rashid di talian 011-61929004,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd