am@hmetro.com.my
Bachok: Lelaki ditahan polis selepas memuat naik kandungan video menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki yang bekerja sebagai pembantu pam minyak itu ditahan di Kampung Tempoyak di sini pada Sabtu.
Terdahulu, lelaki berkenaan memuat naik satu video berdurasi 46 saat yang mendatangkan keaiban terhadap Perdana Menteri dan menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri yang dianjurkan pada 12 April lalu di Pantai Irama, Bachok.
“Suspek juga membuat kenyataan yang seolah-olah mengajak orang ramai supaya tidak menyukai dan memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri yang mana video dibuat sehari sebelum kehadiran PMX.
“Lelaki itu ditahan 11 April lalu dan polis turut merampas telefon bimbit miliknya untuk siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit suspek mendapati terdapat kandungan video dan gambar lucah yang dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Tertuduh mengaku bersalah dan didenda RM4,000 atas kesalahan memiliki kandungan lucah dalam telefon bimbit, manakala untuk kesalahan menghina PM, ketiga seksyen kesalahan masih dijalankan siasatan di bawah SKMM.
© New Straits Times Press (M) Bhd