am@hmetro.com.my
Seremban: Penduduk resah apabila seorang lelaki berperangai pelik dikesan berulang kali mencuri pakaian dalam wanita termasuk milik warga emas di Kampung Baru Rasah di sini.
Kejadian menjengkelkan itu terbongkar selepas pemilik rumah memasang kamera litar tertutup (CCTV) susulan beberapa kejadian kehilangan pakaian dalam wanita secara berulang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang mengadu kehilangan pakaian dalam di garaj rumahnya.
“Berdasarkan laporan dan siasatan awal, mangsa memaklumkan kejadian ini sudah beberapa kali berlaku. Setiap kali insiden, hanya pakaian dalam wanita yang hilang, manakala pakaian lain termasuk milik lelaki tidak diusik.
“Kejadian terbaharu dilaporkan berlaku malam tadi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, mangsa sebelum ini pernah membuat laporan polis dan dinasihatkan untuk memasang CCTV bagi mengenal pasti suspek.
“Hasil rakaman menunjukkan suspek terlebih dahulu memandu ke kawasan berhampiran rumah bagi meninjau keadaan sebelum memanjat tembok dan melarikan pakaian dalam yang disidai di ampaian.
“Malah, difahamkan suspek turut mencuri seluar pendek dan skirt,” katanya.
Katanya, usaha sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti dan menahan lelaki terbabit yang disifatkan ‘pelik’, selepas mendapati kenderaan digunakan suspek dalam rakaman itu mempunyai logo sebuah syarikat.
“Kami yakin dapat menahannya dalam masa terdekat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd