Lelaki mengaku salah miliki 47 senjata tiruan

Lelaki mengaku salah miliki 47 senjata tiruan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas dakwaan memiliki 47 laras senjata tiruan dan peluru tiruan.

Tertuduh, Wan Ahmad Al Hafiz Wan Ali, 36 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa memiliki 47 laras senjata tiruan dan peluru tiruan di dalam rumahnya di Inderapura Jaya, di sini pada jam 8.40 malam, 2 Januari lalu.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwaraya, B Deevagaran Naidu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM5,000.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhamad Saifudin Ab Rahman meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak lagi berniaga.

“Tertuduh juga menanggung seorang isteri serta dua anak dan sebelum ini berpendapatan RM1,200 sebulan,” katanya.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes dan menjatuhkan hukuman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top