Lelaki maut van dipandu terjatuh dalam runtuhan tebing jalan

Lelaki maut van dipandu terjatuh dalam runtuhan tebing jalan

mdroji@bhnews.com.my

KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut selepas van dipandunya terjatuh dalam runtuhan tebing di Jalan Kota Sentosa-Bau, malam tadi.

Mangsa, Chai Kian Fah, 63, yang tersepit di dalam van disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, berdekatan Kampung Haji Baki di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 12.39 tengah malam.

Katanya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati berlaku tanah runtuh di tepi jalan dan sebuah van jatuh di tebing dalam runtuhan itu dengan seorang mangsa berada di dalamnya.

“Keadaan struktur tanah tidak stabil dan masih berlaku runtuhan kecil menyukarkan operasi menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba juga menggunakan peralatan khas untuk memotong bahagian pintu kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 1.59 pagi. Selepas diperiksa, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang turut hadir di lokasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top