Lelaki maut ketika baiki bumbung

Lelaki maut ketika baiki bumbung

am@hmetro.com.my

Butterworth: Pekerja maut selepas terjatuh dari atas bumbung ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan di sebuah kilang pembuatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dilaporkan memijak bumbung atap yang berusia lebih 50 tahun lalu sebelum terjatuh ke lantai premis dengan ketinggian kira-kira 12.19 meter (m).

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, susulan itu mangsa parah di bahagian kepala.

“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pekerja kilang sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, susulan kematian mangsa pihak JKKP mengeluarkan notis pemberhentian serta merta ke atas kerja di kawasan kejadian di kilang itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Jabatan juga mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes,” katanya.

Menurutnya, setiap majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja selaras dengan Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam, serta mengelak berlakunya kemalangan ketika aktiviti kerja dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top