harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Insiden seorang lelaki dilihat berdiri di bahagian luar tingkap sebuah kediaman di tingkat 10 menggemparkan penduduk di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang tadi.
“Suspek, seorang lelaki warga India berusia 27 tahun, berada di luar tingkap sebuah rumah di tingkat 10 dalam keadaan mengamuk sambil memecahkan cermin tingkap rumah berkenaan.
“Suspek juga mengugut untuk terjun dari bangunan rumah berkenaan namun berjaya diselamatkan oleh pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika insiden itu berlaku, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sehingga mendorongnya melakukan perbuatan itu.
Terdahulu, satu klip video berdurasi satu minit 32 saat tular di media sosial, dipercayai dirakam oleh salah seorang penduduk flat terbabit, memaparkan seorang lelaki berpaut pada tingkap dan memecahkan tingkap pada tubuhnya sendiri.
Lelaki berkenaan, yang hanya memakai seluar panjang, tidak berbaju dan tidak berselipar, dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang berpaut pada tingkap kediaman berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd