TOKYO: Seorang lelaki Jepun yang dikenali sebagai ‘Toco’ kini membuka tempahan untuk ‘zoo’ pertama di dunia yang membolehkan individu berpakaian seperti haiwan, selepas dia berbelanja besar untuk menukar dirinya menjadi seekor anjing baka Collie.
Toco, yang begitu obses dengan anjing, sebelum ini mencetuskan sensasi global apabila dilaporkan sanggup mengeluarkan duit yang banyak bagi mendapatkan kostum anjing Collie yang kelihatan sangat realistik.
Kini, dia membawa minatnya ke peringkat baharu dengan menubuhkan Tocotoco Zoo, sebuah destinasi unik bagi mereka yang berkongsi impian untuk ‘hidup’ sebagai anjing.
Menurut laporan, ‘zoo’ tersebut telah dibuka secara percubaan di Jepun dan menerima sambutan menggalakkan daripada individu yang mahu merasai pengalaman berjalan dengan empat kaki seperti seekor anjing.
Mereka yang berminat boleh menyewa kostum anjing baka Alaskan Malamute pada harga 49,000 yen (RM1,500) dan menjalani pengalaman berjalan di khalayak ramai dengan kostum lengkap ekor yang boleh bergerak, mulut berfungsi, serta kamera pandangan dalaman.
Tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal dan perniagaan ini dilaporkan semakin mendapat perhatian.
Bagaimanapun, laman web rasmi Tocotoco Zoo memberi amaran kostum tersebut mungkin kurang selesa bagi individu yang mempunyai badan kaku atau saiz badan tertentu.
Toco mula mendapat perhatian dunia selepas memuat naik video dirinya memakai kostum anjing Collie yang sangat realistik sambil berjalan di sekitar Tokyo.
Dia sebelum ini mengakui dirinya sebagai seorang ‘therian’, iaitu individu yang mengenal pasti dirinya sebagai spesies bukan manusia malah turut membeli sebuah sangkar anjing bersaiz sebenar untuk tidur serta sering berkongsi video dirinya ‘ditambat’ dan dibawa berjalan oleh seorang wanita muda.