Sibu: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Song, Kapit sejak Jumaat lepas ditemukan lemas di Sungai Rajang dekat Kubu Emma di daerah Kanowit petang ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, mayat Bujang Zainuddin, 44, ditemukan terapung di sungai berkenaan yang terletak kira-kira 56 kilometer (km) dari rumahnya di Nanga Nyimoh, Sungai Katibas.
Beliau berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.14 petang, pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan itu bersama pihak polis menemukan mangsa terapung di Sungai Rajang sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Andy berkata, operasi khidmat khas berkenaan ditamatkan pada 5 petang.
Mangsa yang dikatakan mengalami masalah kesihatan dilaporkan hilang oleh keluarganya hari ini setelah usaha mencarinya sejak Jumaat gagal.
© New Straits Times Press (M) Bhd